Antara tarikan utama Kampung Maludam ialah Taman Negara Maludam yang berkeluasan 43, 147 hektar yang terletak dari kawasan Maludam sehingga ke Triso. Keluasan Taman Negara Maludam merangkumi kawasan Batang Saribas ke Batang Layar dan terus ke Batang Lupar. Di taman negara ini terdapat kawasan Hutan Simpan Maludam yang berkeluasan 16, 592 hektar. Taman Negara Maludam telah diwartakan dalam Warta Kerajaan Negeri Sarawak Vol. LV bertarikh 31 Mei 2000. Walau Bagaimanapun, kajian dan penyelidikan terperinci masih giat dilaksanakan oleh pihak Jabatan Hutan Sarawak.
Mengikut Kajian, Maludam mempunyai muka bumi berpaya yang terbesar di Utara Borneo. Justeru itu, ia kaya dengan pelbagai jenis habitat yang terlindung dan hampir pupus di Asia. Antaranya ialah kera merah, kera belanda, burung raya dan sekurang-kurangnya empat spesies burung enggang. Selain itu juga terdapat lebih empat jenis spesies burung kenyalang, bangau dan kera proboscis. Flora dan faunanya masih terpelihara biarpun kawasan ini pernah diancam oleh kegiatan pembalakan haram.
Kepelbagaian hidupan liar, flora dan fauna serta keunikan kampung Maludam menarik perhatian pelancong datang ke Kampung Maludam dan pihak Singai Travel Agency dengan kerjasama penduduk kampung Maludam telah mengadakan program Homestay untuk para pelancong yang datang berkunjung.