Daerah kecil Maludam merupakan sebuah perkampungan nelayan yang terletak di antara Muara Batang Lupar dan Muara Batang Saribas yang mempunyai keluasan seluas 497 kilometer persegi. Ahli Parlimen untuk kawasan Maludam ialah YB Mohamad Shafizan bin Haji Kepli dengan kod P.201 Batang Lupar manakala ADUN kawasan pula ialah YB Dayang Noorazah binti Awang Sohor mewakili N.28 Lingga.

Penduduk Kampung Maludam ialah seramai 5, 282 orang. Majoriti penduduk kampung adalah terdiri daripada kaum melayu iaitu sebanyak 60 peratus, manakala 25 peratus lagi penduduk berbangsa iban. Selain itu, juga didiami oleh penduduk berbangsa Cina sebanyak 15 peratus. Penempatan di kampung ini dibina sejajar dan berkelompok.

Maludam merupakan sebuah perkampungan nelayan, maka punca utama pendapatan penduduk kampung ialah hasil tangkapan laut yang meliputi 50 peratus, sementara 30 peratus lagi terlibat dalam pertanian seperti menanam padi, sayur-sayuran dan buah-buahan, seterusnya 10 peratus buruh manakala 10 peratus lagi dalam sektor kerajaan dan swasta.